Thursday 27 October 2011

Peranan Guru dalam Memacukan Pembangunan Sukan di Malaysia-Penyataan Masalah

Mata pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah menengah sepatutnya diajar oleh guruguru
yang berkelayakan dalam bidang Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan (guru opsyen)
kerana mereka telah didedahkan dengan ilmu konten dan pedagogi semasa dalam kursus
pengajiannya. Namun demikian, masih terdapat guru-guru yang bukan dalam bidang
Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan (guru bukan opsyen) diminta untuk mengajar mata
pelajaran tersebut. Perkara ini berlaku kerana kurangnya guru opsyen Pendidikan Jasmani di
sekolah-sekolah menengah. Tambahan, pihak sekolah masih beranggapan bahawa mata
pelajaran Pendidikan Jasmani boleh diajar oleh semua guru kerana mata pelajaran ini tidak
berunsur peperiksaan dan pendekatan mengajar lebih kepada bermain-main. Tanggapan
tersebut tidak berasas kerana peranan guru ialah menyampaikan ilmu pengetahuan dalam
pelbagai pendekatan kepada murid untuk mereka menimba pembelajaran yang berkesan.
Persoalannya, adakah guru opsyen dan bukan opsyen yang mengajar mata pelajaran
Pendidikan Jasmani di sekolah menengah mempunyai ilmu konten dalam proses pengajaran
dan pembelajarannya? Justeru itu, kajian ini ingin mengenal pasti sejauh mana penguasaan
ilmu konten guru Pendidikan Jasmani (opsyen atau bukan opsyen) dan pelaksanaannya dalam
pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah menengah daerah Batang Padang, Perak.

Objektif Kajian
a). Mengenalpasti tahap ilmu konten guru opsyen dan bukan opsyen dalam bidang sukan
berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani Sekolah Menengah di sekolah yang
dikaji.
b). Mengkaji sama ada wujud pelaksanaan pengajaran dalam bidang sukan bagi guru opsyen
dan bukan opsyen semasa pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah yang dikaji.
Kaedah Kajian
Rekabentuk kajian ini berupa deskriptif melalui kaedah survey. Konseptual kajian
memfokuskan kepada tahap penguasaan ilmu konten dan pelaksanaan mengajar guru opsyen
dan bukan opsyen dalam pelajaran Pendidikan Jasmani.
Alat ukur yang digunakan dalam kajian ini berupa soal selidik. Alat ukur tersebut
mengandungi tiga bahagian. Bahagian pertama mengandungi soalan-soalan tentang demografi
responden (guru opsyen atau guru bukan opsyen dalam bidang Pendidikan Jasmani). Bahagian
ini dapat memberikan maklumat latar belakang sama ada guru yang mengajar mata pelajaran
Pendidikan Jasmani adalah guru opsyen atau guru bukan opsyen dalam bidang Pendidikan
Jasmani serta pengalaman mengajar guru dalam bidang tersebut. Bahagian kedua dalam soal
selidik ini merupakan soalan-soalan yang mengandungi elemen ilmu konten. Soalan-soalan ini
memberi gambaran sejauh mana tahap penguasaan ilmu konten guru sama ada opsyen atau
bukan opsyen dalam bidang Pendidikan Jasmani. Manakala bahagian ketiga berupa soalansoalan
yang meliputi pelaksanaan pengajaran guru dalam pelajaran Pendidikan Jasmani.
Sampel kajian meliputi guru yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani sama
ada opsyen atau bukan opsyen dalam bidang Pendidikan Jasmani bagi tingkatan satu hingga
tingkatan lima di sekolah-sekolah menengah. Tempat kajian ialah sekolah-sekolah menengah
Daerah Batang Padang, Perak yang melibatkan kawasan Tanjong Malim, Slim River, Sungkai
dan Tapah.

rujuk: Julismah Jani (Ph. D)

No comments:

Post a Comment