Sunday 30 October 2011

Sukan Untuk Semua' diberi keutamaan

Sukan Untuk Semua' diberi keutamaan


Atlet menembak kebangsaan, Nor Ayuni Abdul Rahman (dua dari kiri) menyerahkan obor kepada Razali Ibrahim sebagai gimik pelancaran Persidangan Antarabangsa Sains Sukan Dan Rekreasi 2011 di Subang Jaya, semalam.


SUBANG JAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengharapkan Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini memberi manfaat kepada rakyat untuk bersukan dan meminati aktiviti berkenaan.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ibrahim, setiap tahun belanjawan negara banyak difokuskan kepada pembangunan sukan bagaimanapun beliau berharap pada edisi kali ini ia memudahkan rakyat melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
"Promosi perlu bermula daripada inisiatif kerajaan barulah rakyat sedar tentang kepentingan sukan walaupun tahap kesihatan itu adalah tanggungjawab individu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sukan dan Rekreasi (ICSSR) 2011 di sini, semalam.
Jelas Razali, KBS sangat berharap peruntukan kali ini dapat merangsang mempromosikan sukan untuk semua selain melonjakkan sukan prestasi tinggi termasuk di peringkat Sukan Olimpik.
"Saya harap belanjawan kali ini tidak menjejaskan perancangan KBS yang berusaha untuk meningkatkan kedua-dua cabang sukan untuk semua dan sukan untuk prestasi tinggi.
"Kita tidak boleh belanja mengikut kaedah lama jika hendak menarik minat rakyat memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil kita perlu mencari jalan terbaik melakukannya bukan membunuh semangat rakyat.
"Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah cari jalan menggalakkan rakyat bersukan atau meminati aktiviti sukan," katanya.
Pada masa yang sama, Razali berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan ICSSR 2011 kerana ia bakal memberi manfaat kepada pelaksanaan sukan untuk semua dan sukan prestasi tinggi.
"Saya mengharapkan penganjuran ICSSR 2011 ini bakal memberi manfaat kepada rakyat kerana kita menekankan tiga perkara untuk mengamalkan cara hidup sihat iaitu pendedahan, kemudahan, kesenangan.
"ICSSR 2011 mampu untuk membantu kerajaan dan KBS bagi menggalakkan rakyat bersukan dengan mencari jalan terbaik untuk mendedahkan tentang kepentingan bersukan, selain daripada memberi kemudahan untuk membeli barangan sukan dan akhir sekali kesenangan atau keselesaan ke tempat bersukan," katanya.
ICSSR 2011 diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan menampilkan beberapa panel dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) luar negara dan tempatan untuk membincangkan tentang kepentingan Sains Sukan dan Rekreasi.

No comments:

Post a Comment