Thursday 27 October 2011

Peranan Guru dalam Memacukan Pembangunan Sukan di Malaysia-Pengenalan

Pengenalan

Kerajaan Malaysia sangat perihatin terhadap pembangunan dan perkembangan sukan di Malaysia. Kerajaan telah menyediakan prasarana sukan untuk kemudahan rakyat menceburkan diri dalam sukan dan dana bagi pertandingan peringkat kebangsaan hingga antarabangsa demi pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat. Jesteru itu, Dasar Sukan Negara telah digubal dengan menumpukan kepada Sukan Massa dan Sukan Prestasi Tinggi (Kementerian Belia dan Sukan, 1988).

Sukan massa merujuk kepada segala jenis sukan termasuk aktiviti rekreasi yang berbentuk fizikal dan penglibatannya terbuka kepada semua peringkat masyarakat. Ia merupakan sukan untuk semua bagi menggalakkan penyertaan yang luas bukan semata-mata untuk pertandingan. Dasar sukan massa bertujuan untuk membentuk masyarakat yang sihat dan cergas melalui penglibatan aktiviti sukan dan rekreasi. Pelbagai program yang melibatkan slogan “Malaysia Cergas” telah diusahakan oleh organisasi tertentu bagi menggalakkan penyertaan serta kesedaran masyarakat terhadap faedah bersukan dan rekreasi.

Sukan prestasi tinggi merujuk kepada sukan pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dasar sukan prestasi tinggi menekankan pencapaian kecemerlangan atlet pada tahap tinggi. Majlis Sukan Negara telah dipertanggungjawab menyelaraskan pembangunan sukan prestasi tinggi.Kejayaan pembangunan sukan negara perlu bermula dengan menggerakan masyarakat aktif dalam sukan sebagai amalan dan budaya hidup mereka. 

Pendekatan menggerak dan membudayakan sukan hendaklah ditumpukan kepada pendidikan sukan di peringkat sekolah.Pendidikan sukan menitikberatkan pengajaran kemahiran, strategi dan pengetahuan tentang sukan dan aktiviti kecergasan fizikal. Pendekatan tersebut melibatkan sokongan daripada semua pihak termasuk guru. Peranan guru bukan semata-mata mengajar topik-topik pelajaran yang ditentukan dalam sukatan pelajaran bidang masing-masing. 

Peranan guru ialah menyampaikan ilmu pengetahuan dalam bidang kepakarannya melalui pelbagai pendekatan mengajar untuk pelajar menimba pembelajaran secara berkesan. Hasil dari proses pembelajaran yang berkesan, pelajar dapat meningkatkan kefahaman melalui proses kognisi, membina kecekapan sesuatu kemahiran melalui pergerakan psikomotor dan menerapkan nilainilai afektif yang baik melalui aktiviti sosialisasi (Rink, 2002). 

Persoalannya, bagaimanakah seseorang guru boleh berjaya dalam mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan? Apakah formula atau model yang perlu ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan? Mampukah seseorang guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan?

Persoalan tentang bagaimanakah seseorang guru boleh berjaya dalam mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ialah apabila guru menguasai ilmu konten dan ilmu pedagogi yang mantap dalam bidangnya. Formula atau model yang perlu ada dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ialah pendekatan-pendekatan yang melibatkan penggabungjalinan ilmu konten dan ilmu pedagogi secara bersepadu dan bermakna. 

Kemampuan guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan boleh direalisasikan sekiranya guru bermotivasi, kompiten dan komitmen terhadap bidang profesion keguruan yang diceburinya. Guru Pendidikan Jasmani seharusnya pakar dalam pelbagai bidang sukan dan kecergasan fizikal bagi menentukan bagaimana cara mereka menyampaikan ilmu dan sejauhmana murid belajar dalam satu-satu unit konten pelajaran. Salah satu aspek penting pengajaran seseorang guru ialah penguasaan dalam teras pengetahuan mengajar (knowledge based of teaching) secara interaktif dan mendalam. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk melihat sejauhmana penguasaan guru dalam teraspengetahuan mengajar khususnya ilmu konten serta pelaksanaan pengajaran dalam pelajaran Pendidikan Jasmani sebagai peranan utama dalam memacukan pembangunan sukan di Malaysia.

Teras pengetahuan mengajar bermaksud segala jenis pengetahuan yang perlu ada pada seseorang guru untuk mengajar dengan berkesan dalam bidang pelajarannya di sekolah (Shulman, 1987). Salah satu elemen teras pengetahuan mengajar ialah ilmu konten iaitu pengetahuan tentang kandungan subjek bidang yang hendak di ajar. Christensen (1996) melaporkan bahawa di negara Amerika, kebanyakan guru menggunakan elemen teras pengetahuan dalam mengajar bagi program pendidikan yang dianjurkan oleh the National Council on Accreditation for Teacher Education (NCATE). Kebaikan yang dapat dihasilkan apabila guru menggunakan elemen-elemen teras pengetahuan dalam proses pengajarannya ialah:

a). Guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai berdasarkan ilmu konten, ilmu pedagogi am dan ilmu konten pedagogi ke arah mencapai objektif pelajaran.
b). Aktiviti-aktiviti pengajaran dilaksanakan dengan berkesan berdasarkan pengetahuan dalam kurikulum sekolah, pengetahuan tentang konteks pendidikan, pengetahuan tentang murid dan ciri-ciri murid dan pengetahuan tentang matlamat pendidikan.
c). Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan dapat memotivasikan murid dengan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti Pendidikan Jasmani.Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperuntukan dua waktu seminggu bagi pelajaran Pendidikan Jasmani di sekolah-sekolah menengah dan masa bagi kegiatan kokurikulum (bidang sukan) kepada pelajar. Pendidikan Jasmani adalah bidang ilmu yang
mengabungjalinkan aspek-aspek pendidikan melalui aktiviti pergerakan fizikal dalam sukan. Matlamat Pendidikan Jasmani adalah ke arah pembinaan kecergasan diri pelajar melalui amalan-amalan gaya hidup sihat serta menjadikan aktiviti kecergasan dan sukan sebagai pendidikan sepanjang hayat (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999). Berdasarkan matlamat tersebut, guru perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut sukatan pelajaran dan disesuaikan dengan tahap kematangan dan kebolehan pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran guru hendaklah bermakna dan berkesan dengan menguasai ilmu konten pedagogi pada tahap tinggi.
Surat pekeliling ikhtisas bilangan 25/1998 memaklumkan bahawa mata pelajaran Pendidikan Jasmani adalah mata pelajaran teras dan perlu dilaksanakan seperti yang diperuntukan dalam Akta Pendidikan 1996. 

Pelaksanaan mata pelajaran tersebut hendaklah berlandaskan kepada pelajar menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang terkandung di dalam Sukatan PelajaranPendidikan Jasmani melalui pergerakan fizikal. Sukatan Pelajaran Pendidikan Jasmani (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001) disusun mengikut tiga tunjang utama iaitu Tunjang 1: Kecergasan, Tunjang 2: Kemahiran, dan Tunjang 3: Kesukanan.

Tunjang Kecergasan memfokuskan kepada komponen kecergasan berasaskan kesihatan dan perlakuan motor. Guru yang mempunyai ilmu konten dalam tunjang ini perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam aspek daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan, kelenturan dan komposisi badan bagi komponen kecergasan berasaskan kesihatan. Bagi komponen kecergasan berlandaskan perlakuan motor, guru perlu menguasai ilmu konten dan kecekapan kemahiran dalam aspek koordinasi, imbangan, ketangkasan, kuasa, masa tindak balas dan kepantasan. 

Tunjang kedua iaitu Kemahiran adalah aktiviti-aktiviti belajar yang melibatkan pelajar melakukan pergerakan lakuan motor asas seperti kemahiran-kemahiran dalam permainan sukan, olahraga, gimnastik, pendidikan pergerakan, pergerakan kreatif dan rekreasi. Guru perlu mempunyai pengetahuan yang lengkap dan cekap dalam melaksanakan kemahirankemahiran dalam permainan sukan, olahraga, gimnastik, pendidikan pergerakan, pergerakan kreatif dan rekreasi.

Tunjang Kesukanan menumpukan kepada pendidikan dan amalan pelajar berkaitan aspek keselamatan, pengurusan, kerjaya, etika dan isu-isu dalam pendidikan jasmani dan sukan. Bagi tunjang ini, guru perlu mempunyai ilmu konten yang dapat mengaitkan tunjang tersebut dengan bidang lain seperti perubatan, pentadbiran, ekonomi, agama dan politik.

No comments:

Post a Comment